Isnin, 25 April 2011

GOTONG ROTONG KEBERSIHAN PERSEKITARAN

Majlis Gotong Royong Kebersihan Persekitaran telah diadakan pada 24 April 2011 (Ahad), bermula jam 7.30 pagi. Majlis yang dianjurkan oleh Persatuan Penduduk Jalan Impian Murni 2 (PPJIM2), Saujana Impian, Kajang ini mendapat kerjasama daripada beberapa pihak iaitu Alam Flora Sdn Bhd, kontraktor pembersihan kawasan dan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi PPJIM2, Encik Mohd Radzi Ahmad yang menyampaikan maklumat berkenaan majlis gotong royong ini. Menurit beliau, gotong royong ini diadakan dengan tujuan untuk menjadikan persekitaran kawasan perumahan di Jalan Impian Murni 2 lebih bersih dan ceria dan seterusnya dapat mengelakkan komuniti ini daripada dilanda oleh wabak penyakit seperti denggi. Ini merupakan aktiviti tahunan yang diadakan sejak 2009

Selepas itu, semua peserta gotong royong menikmati sarapan yang disediakan oleh penduduk secara port luck. Ibarat kata pepatah, hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicicah. Apa sahaja makanan yang dibawa dinikmati bersama dalam suasana penuh ceria. Inilah keistimewaan majlis sebegini, selain membersihkan kawasan, penduduk juga dapat beramah mesra dan saling mengenali antar satu dengan lain melalui aktiviti yang diadakan.

Sebelum penduduk membersihkan kawasan, Puan Faridah dari Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat (PKDHL) Kementerian Kesihatan Malaysia memberikan ceramah tentang denggi dan langkah untuk menghapuskan nyamuk aedes. Pihak PKDHL telah mengagihkan ubat jentik-jentik secara percuma kepada penduduk dan melakukan semburan nyamuk di lorong belakang rumah penduduk. Selian itu, pihak PKDHL juga menawarkan kepada penduduk yang berminat untuk menjadi ahli sukarelawan skuad pemantau COMBI. Tawaran ini mendapat maklum balas yang baik daripada penduduk.

Terima kasih juga kepada Ahli Majlis Perbandaran Kajang Zon 8, Encik Zulfikar Ali Ariffin yang memberikan sumbangan kewangan bagi menjayakan majlis gotong royong ini. Tidak dilupakan kepada semua AJK, penyumbang, penduduk dan mereka yang telah menjayakan aktiviti ini.



.